Pengalaman mengusha mahasiswa

Sebagai freshie aku masih available pada tahun pertama pengajian. Terlalu ramai wajah-wajah kacak yang sering aku temui. Tapi aku hanya mampu memandang mereka dari jauh. Apa tidaknya masing-masing berkepit dengan awek. Tapi pada satu hari aku terpandang seorang mahasiswa; kacak, tinggi dan putih menepati citarasa ku berjalan berseorang. Aku seorang mahasiswi yang tidak peramah, mustahil aku menegur dia. Nampaknya dia juga freshie seperti aku sebab dia masuk ke dewan kuliah sama dengan roommate aku. Yang pasti jurusan major kami berbeza. Mulanya aku hanya memandang dia dalam dia dan dia langsung tidak menyedari akan kehadiran ku. Pada suatu hari aku membuat satu aksi nekad. Cewah… Aku memandang dia dari saat dia memasuki bangunan fakulti di tingkat bawah sampailah ke tingkat satu pejabat fakulti. Aku menunjukkan dia kepada kawan karib aku di sebelah. Aku berbisik “Eh Ayu, itulah budak helmet biru yang aku ceritakan kepada kau tu.” Mungkin kerana ada 2 pasang mata memerhatikan dia, dia menoleh kepada kami. Lalu kami berpura-pura berbincang topik lain sambil mata aku masih lagi menjeling dia yang ketika itu sedang menaiki tangga. Tapi kantoi sebelum dia sempat menjejakkan kaki di lantai tingkat 1 sekali lagi dia menoleh kepada kami. Mampus…dia nampak hanya aku sedang memerhatikan dia. Air mukanya berubah. Kenapa? Aku bertanya didalam hati. Selepas itu di mana saja aku bertembung dengannya dia akan mengelakkan diri. Kenapa? Apa yang telah aku lakukan sehingga dia membenci aku sebegitu rupa. Suatu hari aku masuk ke perpustakan fakulti untuk membuat rujukan. Bila sudah jumpa buku yang diperlukan aku pun duduk disebuah meja jauh ditepi dinding. Aku perasan ada satu kerusi sahaja yang ditarik dan ada buku nota diletakkan di atas meja. Sedang asyik menyalin nota pemilik buku nota itu datang. Aku mendongakkan muka melihat sipakah pelajar itu. Aku terkedu…”Si helmet biru?!” Dia juga terkejut melihat aku, dengan pantas dia mengambil buku notanya dan beralih ke meja lain. Aku hanya memandang dia dengan perasaan pilu. Kenapa?

Tahun akhir difakulti aku kembali dengan stail rambut baru. Selama ini aku biarkan rambut ditocang atau dibiarkan lepas. Rambut aku bolehlah dikatakan panjang masa tu. Tapi untuk tahun akhir ini dan kononnya semangat baru aku menggunting rambut sampai paras telinga. Nampak moden sikit. Macamlah rupa aku selama ini kampungan sangat la pula. Ehm…masa ini aku perasan seorang mahasiswa yang juga kacak, tinggi dan putih walaupun sedikit kurus dari si helmet biru. Si helmet biru? Kekal begitu sampai kali terakhir aku jumpa dia last semester tahun kedua. Ah biarlah. Si motor kuning ni akhirnya aku tahu siapa nama dia. LTC….singkatan nama dia. Kebetulan kami ada mengambil satu subjek yang sama. Aku suka sangat mengusah dia sampai akhirnya dia perasan juga. Tapi dia memang supercool…makin bertambah respek dan minat aku kepada dia. Dia tau aku memerhatikan dia tapi tidak seperti si helmet biru dia pura-pura tak nampak aku mengusha dia. Dia hanya berdiri saja disitu menunggu pintu dewan kuliah dibuka atau berbual dengan kawan-kawannya seperti biasa. Suatu hari kami bertembung di perpustakaan. Aku yang datang dulu duduk di hujung meja, meja yang sama di mana aku bertembung dengan si helmet biru. LTC datang kemudian, dia nampak aku tapi dengan selamba dia duduk di hujung meja satu lagi dan menelaah pelajaran seperti biasa. Aku tersenyum sendiri dan meneruskan pembacaan ku. Hati ku terasa berbunga-bunga.

O ya si helmet biru….Ketika sesi pendaftaran tahun akhir aku terpandang dia di pintu pejabat. Di kelihatan terkejut…terpana mungkin melihat gaya baru aku. Ahem… Tapi aku yang phobia dengan layanannya cepat-cepat mengalihkan pandangan. Sempatlah juga aku melihat senyumannya. Senyuman? Kemudian kawan karib aku berkata “Sya..si helmet biru datang arah ni la”. Aku cepat-cepat beralih dari papan kenyataan yang pada fikiran aku mungkin si helmet biru nak rujuk jadual kelasnya. Kemudian cepat-cepat aku mengajak mereka melihat sesuatu diluar tingkap yang sebenarnya tak ada apa. Kawan-kawan ku hanya menurut dan melihat ke luar dengan dahi masing-masing berkerut. Yalah…aku menunjukkan sesuatu yang tak ada. Dari ekor mata aku melihat si helmet biru berpatah balik ke pintu pejabat dengan senyuman yang aku sendiri tidak tahu mentafsirkannya. Kemudian aku selalu bertembung dengan dia selepas itu, dia tidak mengelak dan tidak juga menegur aku. Aku pula yang cepat-cepat melarikan diri setiap kali bertembung dengan dia sambil dagu diangkat sedikit. Balas dendam…Dan setiap kali jugalah dia akan tersenyum bila aku melarikan diri darinya. Benci…

Kali terakhir aku berjumpa dengan LTC ketika kami mengambil peperiksaan di makmal. Ketika sedang menunggu boyfriend (masa ni dah ada yang punya) menjemput aku setelah peperiksaan tamat di lobi fakulti aku mengambil kesempatan merenung dia. Selepas ini aku tak akan dapat menatap wajahnya yang kacak itu lagi. Tiba-tiba dia berjalan menuju ke arah aku. Pada mulanya aku menunggu…aku ingin sekali berbual dengan dia tetapi aku khuatir boyfriend aku pada bila-bila masa sahaja akan sampai. Kalau dia nampak macam mana? Lalu dengan perasaan bercampur-biur aku memalingkan muka disaat dia tinggal beberapa sentimeter lagi dari aku. Terasa hati aku menangis…Tapi apa kan daya dia bukan milik ku. Dia hanya berlalu tanpa aku mengetahui sebentar tadi apakah dia akan berbual dengan aku atau sebaliknya. Pertanyaan yang sehingga kini tak mungkin akan aku dapat jawapannya.

Untuk mengakhiri coretan aku yang menyebabkan aku tak tidur-tidur lagi ni…Rupa-rupanya si helmet biru sudah lama ada kekasih. Kawan karib aku ada bertembung dengan mereka di shopping mall. Aku sendiri ketika kerja part time di kedai makan ada melayan mereka. Tapi perasaan aku terhadap dia sudah jadi benci so I don’t care anymore. Cuma LTC…sampai sekarang aku terkenangkan dia. 🙂

Tinggalkan komen